04 January 2015

Di padang itu...

Panas. Itulah yang menggambarkan suasana tika ini. Peluh mericik keluar. Bukan jutaan malah lebih lagi berkumpul di lapangan ini. Tiada yang kelihatan duduk berpeluk tubuh semata. Semuanya sibuk berjalan ke sana ke mari. Di mana? Aku pun tidak tahu. Selepas kedengaran bunyi semboyan, aku lantas terjaga. Semasa aku terjaga, dengar juga suara desas desus. Menyumpah diri sendiri. Menyoalkan siapa yang membangkitkan mereka dari tidur.

Aku terus tolak menolak. Orang lain turut melakukan perkara yang sama. Sudah ku bilang tadi, tiada yang berpeluk tubuh sahaja. Masing-masing sedang mencari sesuatu. Tiba-tiba kulihat, segerombolan manusia berkumpul. Aku cuba mampir ke situ meski sukar. Sepanjang laluan, ada yang kulihat sudah lemas dalam titisan peluhnya. Tidak sempat untuk kasihan. Aku terus bergerak ke arah kumpulan itu. Aku sudah semakin hampir. Tiba-tiba ada cahaya menerpa ke korna mata. Ianya tidak menyilaukan. Aku terus bergerak.

Aku tiba-tiba terhenti. Terpana mungkin, manusia di hadapanku ini. Siapakah dia? Dia kelihatan begitu tenang sekali. Meski jauh dari mata, aku rasa, dia amat dekat denganku. Dia melihatku. Dia senyum. Aku tidak dapat gambarkan betapa mempesonanya senyumannya itu. Aku hampir pengsan kerana terlampau bahagia melihat senyuman itu. Kelihatan dia begitu sabar menghadapi kerenah manusia yang begitu ramai di hadapannya. Aku cuba mendekat dengannya. Aku berjaya.
Dia menghulurkan air dari telaga itu. Aku minum. Ya, aku sangat dahaga. Namun, dengan sekali teguk, aku sudah rasa lega. Aku terkedu. Manusia lain di belakangku juga ingin air itu. Namun, aku tidak mahu berganjak, ingin sekali aku memeluk manusia di hadapanku ini. Tanpa kuduga, dia yang memeluk ku dahulu. Haruman semerbak kasturi menghiasi dirinya. Sungguh. Aku bahagia. Dia melepaskanku dan memberi minuman itu kepada yang lain pula.

Aku melihat di sekelilingku. Ada yang lidah terjelir hingga ke dada. Ada yang bertubuh sempurna namun lain kepala dan badannya. Manusia apakah ini? Apa kesalahan mereka. Dan. Bilangan mereka amat ramai juga. Nampak gayanya, hanya segelintir yang bertubuh manusia dan baik fizikalnya. Aku tebarkan lagi pandanganku. Daerah ini bagai tiada penghujung. Dan seluruh daerah itu dipenuhi manusia. Aku tidak dapat melihat tanah walau seinci. Aku memandang lagi.

Aku lihat ada yang sedang mengambil buku. Sesekali kelihatan ada yang menangis, meraung. Aku tidak tahu kenapa. Kelihatan sesalan yang menghempap. Sungguh berat. Bukan seorang. Bukan dua. Ramai. Tidak mampu kubilang. Ada juga yang tersenyum pada mulanya, namun, di akhirnya dia meraung jua. Ah, ada yang gembira. Senyuman kebahagiaan terpancar jelas di wajahnya. Kelihatan puas sekali.

Giliranku tiba. Aku mengambil buku itu. Dengan tangan apa, tidak pula kuingat. Yang ingin kutahu, apa keadaanku. Adakah sama dengan golongan yang di kananku, atau dikiriku. Yang kumahu, sudah tentu di bahagian kanan. Mereka sungguh bahagia. Kulihat dipaparan. Ah, ini dunia. Sudah kuingat. Amalanku, tidaklah banyak mana. Aku mula gelisah.

Tiba-tiba datang seorang pemuda. Menggelar dirinya al-Furqan. Dia seperti membelaku. Katanya aku sering membeleknya dan menitis air mata ketika membacanya. Datang pula seorang pemuda yang lain. Ah, ini lelaki tadi. Dia juga membelaku. Aku tidak mampu berkata apa. Mataku berkaca. Kata-kata lelaki tadi juga sudah hilang di telinga. Yang aku sedar, aku sudah dipimpin. Aku lihat di hadapanku. Sebuah pintu yang terbuka luas. Jelas kelihatan di dalamnya. Amat indah. Manusia-manusia di dalam itu juga amat bahagia.

Aku tertunduk. Terkejut aku. Kelihatan manusia menjerit melolong. Dibakar. Dahsyatnya siksaan ini. Apa salah mereka? Ada yang menangis minta dikeluarkan. Menyumpah diri. Katanya, ingin kembali ke dunia. Untuk sujud walau sekali cuma. Aku gementar. Namun, bahagia yang di hadapan itu, tidak mampu kutunggu lagi. Aku terus bergerak. Amat perlahan gerakanku. Sehinggalah.

Aku tergelincir. Bahang-bahang kepanasan menjilat tubuhku. Aku belum dibakar seperti manusia tadi. Tapi, ini sungguh menyiksakan. Jeritanku nampaknya tidak membantu. Aku menutup mata. Masih begitu. Diriku masih terawang-awang. Aku bagai tidak menemui penghujung gaung ini. Aku lihat di kiri dan kananku. Ada yang mendidih otaknya. Ada yang menyiksa diri, mengangkut beban yang berat. Ah, ditambah lagi. Ada yang sedang makan. Namun, makanan itu membakar perutnya. Hairan. Dia teruskan lagi. Dahsyatnya siksaan ini. Apa kesalahan mereka?

Aku terhenti. Sudah habiskah? Ada yang menarik aku. Mengapa begitu lewat? Dia tersenyum. “Itulah kamu. Melewatkan aku. Aku juga lewatlah,” Solatku. Ah, penyesalan bertandang di jiwa. Ada manusia di sebelahnya. Siapa? Ah, sahabat! “Tidak akan kubiar kau jatuh di sini sendirian. Ayuh!” tubir mataku bergenang.

Selangkah lagi untuk ke tempat ini. Wah, alangkah bahagianya! Sungai-sungai yang mengalir tenang. Tiada yang kelihatan bersedih. Semua gembira. Aku juga ingin menyertai mereka. Sahabat tadi, menarik aku.

“Sudah-sudahlah. Tidak baik tidur selepas asar.” Ibu? Ah, aku bermimpi rupanya. Tidak sempat aku menyertai sahabat tadi. Air mata? Macam betul sahaja.


 "Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan...."57:20

0 Buah Fikiran: