14 March 2012

Jangan Kita Hidup Dalam KEDUSTAAN

Sedih bukan melihat dunia sekarang? Bukan sekadar dunia bahkan sekadar masyarakat sekeliling sahaja. Kadang-kadang timbul persoalan, adakah kita menyedari hakikat kita hidup di dunia ini? Pastikah kita matlamat yang dituju itu adalah matlamat yang benar?

Dunia ini terbalik. Percaya atau tidak. Ya itu hakikat yang berlaku. Matlamat kita adalah dunia dan agama adalah alat bagi mencapai cita-cita tersebut. Seperti mana apabila kita bertanya kenapa kita ambil SPM, berapa ramaikah yang akan terdetik pada hatinya bahawa, “Ini adalah untuk agamaku.”

Ataupun, berapa ramai yang hanya menadahkan doa kepada Rabb untuk mendapat matlamat dunia. Pada saat lain, agama hanya dilaksanakan sebagai satu rutin bukannya kerana kita hamba. Ataupun melakukan solat malam untuk memohon esoknya dimudahkan segala kerja menjawab kertas peperiksaan, selepas itu meninggalkan amalan itu sehinggalah tiba saat lain untuk peperiksaan seterusnya?

Apabila kita seringkali mendakwa bahawa ‘Aku melakukan ini kerana Allah.’ ‘Aku cintakan kamu kerana Allah.’ ‘Aku berusaha untuk itu kerana Allah.’ Berapa ramai yang sedar apakah hakikat berbuat sesuatu kerana Allah?

‘Abid. Kita adalah hamba. Siapapun kita, hakikatnya kita adalah hamba Allah azzawajal. Kita tidak diciptakan di dunia untuk menempa kejayaan yang bersifat duniawi. Ya, tentulah kita ada matlamat duniawi tapi itu bukan objektif utama. Matlamat duniawi hanyalah untuk mencapai matlamat ukhrawi. Kita sering lupa bahawa kita hamba Allah tabaraka taala. Kita adalah hamba.

[Az-Zariyaat : 56]

Hanya apabila kita benar-benar merasa bahawa kita hamba, kita diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan segala kehendak nafsu dan keinginan terhadap dunia untuk mencari bekalan untuk akhirat. Tujuan hidup manusia adalah untuk menjadikan setiap saat penghidupannya untuk Allah.

Allah.. mampukah kita memegang amanah seberat itu? Beribadah kepada Rabbuna sambil bermujahadah melawan nafsu.

Kerana itulah manusia adalah semulia-mulia makhluk.

Kita diberi iman dan nafsu. Kita terpaksa bersusah-payah melawan kehendak dan keinginan kita kepada dunia yang bertentangan dengan syariat atau melalaikan kita. Sedangkan para malaikat memang telah diciptakan tanpa nafsu dan bersifat taat kepada setiap perintah Allah swt.

Maka setelah kita dimuliakan Allah swt sendiri, mengapa kita tersasar pada jalan yang lain?

Kemuliaan pada sisi Allah swt adalah sesuatu yang dicari oleh setiap makhluk. Siapa kita jika sekalipun mulia pada pandangan manusia sedangkan pada pandangan Allah swt kita hina. Hakikatnya manusia itu hina tetapi tidakkah kita berasa mahu menjadi hamba Allah yang lebih mulia di sisi-Nya?

Bagaimanakah itu menjadi lebih mulia di sisi Allah swt? Dengan menjadi lebih betaqwa.

Fahamkah kita tentang maksud taqwa? Taqwa adalah seperti berjalan di atas jalan yang berduri, tentulah kita berhati-hati. Itulah jawapan Umar apabila Umar bertanya kepada Ubai. Maka Ubai bertanya kembali kepada Umar. Maka itu jawapan Umar, manusia yang telah dikatakan Nabi saw: “Jika selepasku adanya Rasul lagi, maka Umarlah orangnya.”

[ Al-An’am: 32]

“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.”

Ingatlah. Allah tidak menjadikan kita main-main tanpa asbab dan tujuan.Kita hanya hidup di bayangan fatamorgana semata-mata, andai kita arif tentangnya.

Yang kekal hanya Al-Haq, sedangkan yang lain hanya dusta belaka.

..seperti mana di suatu hari nanti apabila semua makhluk dimatikan, tinggallah Dia.
Maka, Dia dengan segala Keagungan dan Kebesaran yang ada pada-Nya, berfirman : “Siapakah pemilik kerajaan hari ini?!”

Allahuakbar! Hanya Dia Ilah yang disembah.

Bagaimanakah kita mampu membiarkan diri kita hidup dalam kedustaan yang berpanjangan?

0 Buah Fikiran: