05 November 2011

Aidiladha - Bukan Sekadar Korban.


Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.

Pastinya anda semua sudah tahu mengenai kisah ini kan? Namun, adakah semua orang tahu apa itu makna sebenar Hari Raya Aidiladha? Adakah hanya sekadar menyembelih binatang an'am sahaja? Ataupun sekadar menunaikan haji di Mekkah? Aidiladha atau Hari Raya Korban merupakan satu peristiwa yang patut difahami, diamati malah perlu dihayati supaya dapat menyingkap apakah maksud AidilAdha yang sebenar..


Berdasarkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kisah pengobanan mereka amatlah besar. Namun bagaimana pula diri kita? Jikalau kita diletakkan di tempat kedua-dua Nabi Allah itu, adakah kita akan memberi ketaatan sebegitu rupa? Mari sama-sama kita bermuhasabah kembali.
Sejauh mana taatnya kita pada perintah Allah? Adakah kita sudah berjaya menggalas tanggungjawab kita sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini? Manusia dulunya telah berjanji untuk menjadi Khalifah Allah. Namun apakah yang kita lakukan saat ini? Berapa ramai anak muda kini kian terpesong akidahnya? Na'uzubillah. Moga kita tidak menjadi salah seorang daripada mereka. 
Marilah kita sama-sama menghayati maksud sebenar Aidiladha. Aidiladha bukan sekadar kita berkorban binatang, wang, namun pengorbanan dari segi masa turut digalakkan. Bagaimana berkoban dari segi masa? Waktu kita bersama Allah yakni waktu bita beribadat kepada Allah haruslah ditingkatkan. Meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat juga merupakan satu pengorbanan. Perkara ini sebenarnya bukanlah mudah untuk kita lakukan. Namun tidaklah mustahil untuk dilakukan.
Kebanyakan dari kita mengeluh apabila diberikan ujian. Namun bagaimana kita akan berjaya menghadapi ujian tersebut tanpa melakukan pengorbanan? Kejayaan memerlukan satu pengobanan yang besar. Tanpa pengorbanan dan usaha, kejayaan tidak akan dapat dicapai. Setiap orang mampu berubah menjadi lebih baik, walaupun hanya perubahan kecil yang dapat dilakukan. 
"Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, melaikan mereka sendiri yang berusaha merubah nasib mereka."
Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami dalam iman dan Islam. Jadikanlah kami insan yang sentiasa dekat hatinya denganMu. Amin ya Rabb. 

0 Buah Fikiran: