26 August 2011

C.I.N.T.A

Zaman Remaja memang indah....
Kerna sering diulik mimpi cinta....
Anggapan Bawah sedarnya cinta itu penawar duka.....
Tanpa Cinta dirinya keluh kesah...
Resah,gelisah
Tanpa cinta yang meneman...bagai diri tak aman.
Jiwa tak keruan,hati tak tahan..bagai cacing yang kepanasan...

Cinta itu suci...
Tanpa cinta...mungkin tiada kita disini...
Menyingkap cinta Adam dan Hawa...
Itu kisah cinta pertama...

muslimah dan coklat

Aku suka rasa di sekolah. Hening, ketika petang menyinsing. Atau terasa damainya ketika senja menyapa.

Nurul Aiman. Sedap namanya, apatah lagi akhlaknya. Gadis, wanita yang sering aku kagum dan memandang tinggi padanya. Bukan wanita, muslimah sebetulnya. Aku selalu memerhati sikap dan perwatakan yang ada pada dirinya, dari jauh sudut di hati. Sikapnya yang tenang, tapi tegas berhikmah terhadap lelaki.

Wajahnya ayu lembut bertudung labuh menyentuh, menyerlah iman di dada. Sopan, terlalu sopan. Malah, tenang. Melihatnya kadang membuatkan aku terasa suka. Dalam hati, aku selalu menyimpan seribu perasaan. Benarlah sabda Rasulullah Saw, " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. "

Di hujung waktu persekolahan, aku beranikan diri. Aku tinggalkan secebis pesanan. Memercikkan warna perasaan bersama segunung harapan.

Balasnya,

"Majdi, cinta itu ungkapan yang penuh hikmah. Alangkah ruginya jika ia hanya layu di janji lemah. InsyaAllah, janji Allah senantiasa untukmu. Berharaplah, berdoalah.

19 August 2011

12 August 2011

Ombak Ramadhan



. ."Dah niat puasa ke belum?" tanya ayah kepada sang anak.

"Err... Tak gheti la... Ayah ajaq la..."



"Eh? dah besaq pun tak gheti-gheti lagi ka...? Ikut ayah..."
*****

"Bangun! Bangun! Semalam kata nak puasa..." gerak sang ayah.
Bangunlah si anak sambil mengusap-usap matanya...

"Sekarang pukul berapa ayah?"

"Ada la... makanlah dulu... cepat, makanan dah ada atas meja tu.."
*****

Si anak datang dari belakang, perlahan-perlahan mendekati ayahnya yang sedang khusyuk bertasbih...

"Ayah! Nak dua kupang.. Nak beli cokelat... hehe..." sengih si anak sambil melihatkan barisan gigi yang tidak cukup.

"Terawih buat berapa rakaat?" soal si ayah.

"Err... Terawih buat lapan dah..." jawab si anak yakin.

"Aik... ni baru enam rakaat..."

"Alaa... campur Isyak empat rakaat.... cukup la lapan...." ngomel si anak penuh yakin.

"Yelah-yelah ... ambil nih... tapi tambah dua rakaat dulu.. boleh?"

"Okay!..."
*****

" Ayah... Nak minum ayaq... Sikit ja... Please-please..." rayu si anak

" Eh mana boleh... Batal puasa nanti.."
" Alaaa... Dahaga lah... Nanti kalau mati cena..?" hujah si anak.

" Haha.. Tak pernah lagi ayah dengar orang puasa mati..."

" Alaa~~ Nak minum jugak! Nak minum jugak!" raung si anak

" Ok lah... Pegi mintak kat ummi... Tapi lepas tu sambung puasa balik.. ok?" balas si Ayah sambil tersenyum.

" Okay..." laung si anak sambil berlari mendapatkan umminya..

*****

As Salam...

Ada persamaan? Heh...

Kita yang dulu. Kadang-kadang lebih memenuhi ciri seorang Mukmin dari kita yang sekarang. Kita yang dulu saban hari diajar dengan perkara-perkara yang baru. Kita yang dulu semakin hari semakin bertambah amal baik yang kita lakukan. Kita yang dulu hari demi hari semakin lama semakin faham dengan agama. Dari tidak tahu solat, kita sudah tahu solat. Dari puasa cuma separuh hari, sudah cukup sampai sebulan. Pendek kata, semakin hari semakin maju. Bukankah itu ciri-ciri Mukmin?

Cuba kita 'soroti' kembali perjalanan hidup kita. Bilakah kali terakhir kita membangun membesar berkadar terus dengan amal dan takwa kita. Bilakah kali terakhir graf amalan kita menunjukkan peningkatan? Tak banyak pun sikit. Bilakah hari terakhir dalam hidup kita, kita mampu mengatakan:
"Aku yang hari ini lebih baik dari semalam!"
Kalau anda sudah lupa. Malang bagi anda.
Mujur ada Ramadhan...

Ramadhanlah penyelamat bagi mereka yang malang tadi. Kenapa saya katakan demikian? Seawal hari pertama lagi kita sudah boleh mengungkapkan kembali kata-kata di atas. Ya! Kata-kata yang selama ini kita ragu-ragu untuk mengungkapkannya. Masakan tidak. Tidur pun sudah dikira ibadah!

Bersyukurlah atas kehadiran Ramadhan kerana pada bulan inilah ciri-ciri Mukmin yang kita pernah ada dulu dikembalikan semula. Amatlah rugi kalau sekiranya kita tidak menyedari hal ini lantas kita hanya menjalani bulan ini secara 'semberono'.

Ramadhan bukan sekadar bulan kuruskan badan! Ramadhan adalah bulan untuk kita kembali ke medan! Medan yang telah lama dulu kita tinggalkan. Medan ibadah mengadap Tuhan.

Ramadhan Kickstart
Kalau dulu kita mengalami kesusahan untuk melakukan solat malam.
Kalau dulu kita payah untuk menghabiskan walau satu muka surat al-Quran.
Kalau dulu ibadah-ibadah sunat kita cuma cukup-cukup makan.

Ramai yang mengalami kesusahan pada permulaan. Kickstart! Kalau kapal persiaran yang besar mengambil masa yang lama hanya untuk memanaskan enjin. Begitulah juga kita. Pada hari-hari biasa permulaannya dirasakan begitu susah. Asalkan dah lepas pada permulaan. Perjalanan yang seterusnya dirasakan mudah.

Begitulah juga Ramadhan. Bulan yang menyediakan platform kepada kita untuk memanaskan enjin. Pusat persediaan kepada kita bagi membiasakan diri dengan ibadah dan disiplin diri. Kalau dulu kita mengeluh sukar untuk mencari titik mula. Nah! sekarang Ramadhan tiba. Musuh tradisi sudah digari, yang tinggal cuma satu lawan satu. Antara Iman dan Nafsu. Masih sukar lagi?
Kesimpulan, Ramadhan adalah titik permulaan. Titik penentu bagaimana hala tuju amalan kita sampai menuju ke Ramadhan yang seterusnya. Semangat kita ibarat ombak, lambat laun ia pasti akan reda. Gunakanlah aura Ramadhan kali ini bagi memulakan ombak yang tinggi. Biar sampai ia jadi Tsunami!

01 August 2011

Seorang pendosa yang memasuki Ramadhan



Kamu, saya dan mereka. Kita semua adalah pendosa. Ya. Sungguh, banyak kesilapan telah kita lakukan, hasil kelalaian kita selama ini. Sudah diingatkan berkali-kali tetapi tetap alpa dan leka. Akhirnya terpalitlah pada diri ini dosa-dosa, yang kalau kita lakarkan lukisan bentuk hati di atas kertas dan menitik satu titik hitam bagi setiap dosa, nescaya mungkin gelaplah lakaran bentuk hati itu lantaran banyaknya dosa-dosa kita.
Namun, pendosa seperti kita ini, Allah SWT berikan lagi Ramadhan kepadanya.
Apakah perasaan?
Jujurnya, saya rasa terharu apabila seorang pendosa seperti saya, diberikan oleh Allah SWT peluang untuk memasuki Ramadhan yang teramat-amat mulia ini.
Ya. Terharu. Seakan-akan Allah SWT bersuara:
“Nah, ini peluang untuk kamu membersihkan diri.”
Seakan-akan, ini adalah bukti tanda Allah masih ‘mahu’ pendosa ini memasuki syurgaNya.



Ramadhan yang mahal buat pendosa.
Hanya orang yang mati sahaja akan mengetahui nikmat hidup. Dan hanya orang yang mati sebelum Ramadhan sahaja yang akan mengetahui betapa mahalnya sebuah Ramadhan untuk dirinya.
Ramadhan adalah medan di mana Allah lambakkan segala ganjaran. Tetapi lebih dari ganjaran-ganjaran tersebut adalah, Ramadhan ini Allah lambakkan juga dengan peluang-peluang keampunan yang terbuka luas.
Daripada Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya…” Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi.
Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.
Mengapa peluang keampunan itu mahal?
Kerana keampunan itu memadamkan dosa-dosa.
Apakah yang lebih bermakna untuk seorang pendosa, selain dipadamkan dosa-dosanya?



Allah masih memandang kita. Apakah yang lebih besar?
Dan perasaan bahawa Allah SWT masih memandang kita, masih memberikan peluang kepada kita, nyatanya di situ ada tanda yang jelas bahawa ALLAH MASIH SAYANG KITA, justeru hati pendosa mana yang tidak kembang dengan perkara ini?
Seakan-akan orang yang lapar tidak makan berhari-hari, yang kemudiannya diberikan makanan. Begitulah pendosa-pendosa yang gelisah dengan dosa-dosanya dan kemudian diberikan ruang keampunan. Pasti ‘Sang Pemberi’ punya rasa belas.
Tidakkah kita rasa bertuah, di’belas kasihan’kan Allah SWT?
Allah SWT! Siapakah Allah? Tuhan Sekalian Alam. Yang Di tanganNya langit dan bumi. Yang Menguasai Segala-gala. Yang Maha Perkasa. Allah itulah yang sedang memandang kita para pendosa dan memberikan belas kasihanNya kepada kita dengan memberikan peluang Ramadhan kali ini buat kita.
Kita! Siapakah kita? Kita yang penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Kita yang bila diberikan peringatan lupa. Kita yang bila ditegur tak ambil peduli. Kita yang terus-terusan mengulang dosa yang sama. Kita yang lambat bergerak menghargai peluang keampunanNya selama ini.
Apakah yang lebih besar dari perasaan “Allah Masih Memandang Aku. Allah Masih Sayang Aku.” Ini?
Nyata orang-orang yang melihat akan tersedar, lantas mengambil peluang Ramadhan ini.
Allah masih sayangkan kita.
Kita. Pendosa.


Penutup: Motivasi buat pendosa yang masih hidup. Ramadhan ini, berubahlah.
Tanda bersyukur bukanlah hanya dengan menyebut alhamdulillah.
Orang yang bersyukur dengan pemberian kedua-dua ibu bapanya, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik. Ibu bapa beri duit untuk dia belajar, dia belajar bersungguh-sungguh.
Maka orang yang bersyukur dengan pemberian Allah SWT, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik juga. Allah SWT memberikan kita Ramadhan untuk menjadi lebih baik, maka kita mengambil segala peluang yang wujud di dalam Ramadhan dengan bersungguh-sungguh.
Kalau Allah benci dengan kita, Dia boleh sahaja mematikan kita sebelum Ramadhan.
Tidak memasukkan kita dalam kalangan yang mendapat peluang ini.
Tetapi sekarang, Ramadhan telah tiba dan kita berada di dalamnya.
Maka marilah kita, para pendosa yang masih hidup ini, bersyukur, dengan mengambil peluang Ramadhan ini, menjadikan Ramadhan kali ini medan perubahan kita.
Ayuh!


© Langitilahi.com