23 July 2011

15 July 2011

CARA MEMPERKUKUHKAN TALI PERSAUDARAAN

Agama Islam telah meletakkan dasar-dasar praktis dan cara yang positif dalam usaha memperkukuhkan ikatan cinta kasih dan dalam memperdalamkan roh ukhwah. Jika peraturan-peraturan ini di pegang teguh oleh umat Islam maka persaudaraan (ukhwah) itu akan semakin kukuh. Beberapa panduan untuk tercapainya kekukuhan roh ukhwah cara persaudaraan :
MEMBERITAHU KEPADA SAUDARA YANG DICINTAINYA -
 Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaknya ia memberitahu kepadanya." HR Abu Daud dan Tirmizi.

BERDOA UNTUK MEREKA -
 Menurut riwayat Muslim bahawa Rasullah bersabda: "Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata; dan bagimu juga seperti itu."

MEMBERI SENYUMAN KETIKA BERTEMU
- Seperti yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah bersabda ertinya: "Janganlah engkau remehkan kebaikan apa saja (yang datang dari saudaramu). Dan jika engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan." (HR Muslim)

BERJABAT TANGAN BILA BERTEMU
- Rasulullah SAW menganjurkan umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra: "Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah."

MENGUNJUNGI SAUDARA - Dalam kitabnya Al Muwathtaa Iman Malik meriwayatkan: Bersabda Nabi Muhammad SAW bahawa Allah berfirman : "Pasti akan mendapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku."

MENYAMPAIKAN UCAPAN SELAMAT 
 Diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah menggembirakan pada hari kiamat." (HR Tabrani). Rasulullah SAW pernah mengajar hal tersebut seperti dicontohkan dalam hal-hal sebagai berikut:

Berkenaan dengan kelahiran anak: "Semoga anda diberkati atas pemberianNya itu dan bersyukur dengan Yang Memberi Rezeki mulai dari kelahiran dilimpahi dengan kebaikan hingga hari tuanya." (HR Husein bin Ali RA)

Apabila kembali dari menunaikan haji: "Semoga Allah menerima hajimu, mengampuni dosamu, dan menggantikan nafkahmu.” (HR Ibnu Sunni dari Ibnu Umar RA)

Bila salah seorang saudara menikah : "Mudah-mudahan Allah mengekalkan keberkatan atasmu dan mengumpulkanmu berdua di dalam kebaikan." (HR Abu Daud dan Tirmizi dari Abu Hurairah)

Ucapan Selamat Aidil Fitri : Semoga Allah menerima amal kita, membalas kebaikan saudara dengan ucapan selamat: "Semoga Allah memberkatimu, keluargamu, hartamu, dan mudah-mudahan Allah membalas kebaikan kepadamu." (HR Nasa' dari Ibnu Majah)

MEMBERI HADIAH -
Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu' bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati." Dalam hadisnya marfu, Imam Thabrani meriwayatkan dari Aisyah RA bahawa Rasulullah bersabda ertinya: "Biasakanlah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan saling mencintai."

MEMPERHATIKAN KEPERLUAN SAUDARA
- Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Siapa yang meringankan beban penderitaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutupi aib seseorang muslim pasti Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya." (HR Muslim)

MENEGAKKAN HAK-HAK PERSAUDARAAN
- Untuk memperkukuhkan ukhwah maka adalah wajib bagi kita untuk menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarah saudaranya yang sakit, mendoakannya ketika bersin, dan menolong bagi yang teraniaya (dizalimi).

Oleh kerana itu adalah tidak perlu ragu lagi bagi kita bila seorang muslim memberitahu saudaranya bahawa ia mencintainya, membiasakan mendoakan saudaranya dari jauh, bersikap senang apabila berjumpa dengan saudaranya, membiasakan berjabat tangan bila berjumpa, mengucapkan salam, memberi hadiah, saling menziarahi. Maksud dari semua itu adalah tidak lain untuk menunjukkan rasa cinta kasih sekali gus untuk mempereratkan ukhwah bila dalam melaksanakannya adalah betul-betul ikhlas kerana Allah SWT.

09 July 2011

WAHAI PARA PENDAKWAH....!!

KAMU... Mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu al-quran dan hadith. Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri. Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."
- Al-Baqarah, 42 -

Wahai para dai'e,
Dengarlah rintihan dan permintaan daripada kami ini, agar kami boleh memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan dorongan, sedikit anjakan daripada kamu, dan peringatan agar kami tidak kembali lalai.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."
-Ali-Imran, 104 -


Wahai para dai'e,
Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.

"Zuhud-lah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhud-lah terhadap apa yang ada di tangan manusia maka manusia pun akan mencintaimu."
- H.R Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad hassan -

Wahai para dai'e,
Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami, bantulah kami membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.

Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat, seperti mana Rasulullah saw apabila baginda ditanya sama ada air laut itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab

"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal"
- H.R Malik, al-Syafi'e -

Wahai para dai'e,
Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"
- Al-Baqarah, 44 -

Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya".
- Ad-Dhuha,11 -

02 July 2011

Pesanan.......utk muhasabah diri

Ikhlaskan niatmu dalam menuntut ilmu kerana sukar bagi hati untuk dimasuki cahaya jika di dalamnya ada sesuatu yang dibenci Allah.”

“Sucikan hatimu dari kekotoran maksiat kerana hati yang kotor tidak dapat menerima rahsia-rahsia ilmu dan kurniaan Allah.”

“Tuntutlah ilmu agama secara talaqi daripara masyaikh yang bersanad kerana ada padanya madad dan keberkatan.”

“Ilmu adalah sangat mulia. Justeru, bersabarlah dalam menuntut ilmu kerana semakin bertambah mulia sesuatu yang dituntut, maka semakin bertambah pula keletihan dan kepayahan dalam mencapainya.”

“Muliakanlah para ulama’, ilmu dan kitab-kitab mereka. Lazimikanlah dirimu untuk membaca kisah-kisah dan kitab-kitab para Salafus Soleh dan ulama Khalaf yang soleh terutamanya kitab Ihya ‘Ulumiddin karangan Hujjatul Islam, Al-Imam Al-Ghazzali kerana ia adalah perbendaharaan dari segala macam ilmu dan penawar yang mujarab bagi penyakit-penyakit hati.”

“Menuntut ilmu bukan hanya untuk mengisi otak dan fikiran, tetapi juga untuk memperhaluskan perasaan dan menyuburkan kebijaksanaan. Apa yang dicari bukan hanya semata-mata ilmu, tetapi juga manfaat dan keberkatannya. Justeru, jagalah adab-adab ketika menuntut ilmu untuk memperolehinya.”

“Cintailah Rasulullah dan keturunannya kerana jika hanya berilmu tanpa Mahabbatun Nabi, hati akan menjadi ‘gersang’.”