27 June 2011

Iktibar di sebalik Israk Mikraj


Bulan Rejab kini sudah hampir meninggalkan kita. Kedatangannya mengingatkan pada peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa biasa tetapi ianya mempunyai hikmah dan mesej yang cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya. Peristiwa tersebut seharusnya membuka pemikiran dan cita-cita manusia sejagat sekaligus menunjukkan kekuasaan Allah SWT ke atas sekalian makhluknya dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.
Janganlah kita pertikai dan persoalkan bila waktu sebenarnya peristiwa israk mikraj ini terjadi dan juga adakah perjalanan ini roh bersama jasad atau cuma roh semata-mata. Apa yang penting adalah bagaimana kita melihat iktibar yang tersirat disebaliknya dan mengambilnya sebagai panduan untuk mengukuhkan iman dan menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.
Rentetan peristiwa tersebut, begitu banyak rahsia tersembunyi yang perlu kita kupas bersama. Setelah kewafatan Saidatina Khadijah RA yang selama ini menjadi pendamping setia, bersama menggenggam tauhid yang kukuh, serta menjadi pendorong utama dalam perjuangan Baginda SAW. Disusuli pula kewafatan Abu Talib yang juga selama ini menjadi pelindung Baginda SAW dari ancaman fizikal oleh kafir Quraisy, cukup memberi kesan besar terhadap Baginda SAW pada tahun kesedihannya. Pada ketika itu juga dakwah Islam berada dalam keadaan tenat dan merudum, dari segi psikologi Nabi SAW begitu terjejas, bahkan tiada kemasukan baru ke dalam agama Islam dikalangan penduduk Mekah.
Sebagai manusia, baginda merasa sedih dan pedih dengan kewafatan dua insan penting yang banyak berjasa dalam menyebarkan dakwah Islam. Namun Allah SWT tidak membiarkan kekasihnya terus berada dalam kedukaan, Israk Mikraj merupakan pendekatan menghiburkan setelah RasulNya kehilangan dua tunggak kekuatan.
Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril yang boleh dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Israk yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.



Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al Quran, yang bermaksud;
”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS Al-Israk;1)

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW yang hanya berlangsung pada satu malam ini seringkali diulang cerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, namun roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih gagal meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam. Semasa ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.
Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj.

0 Buah Fikiran: