27 July 2010

(Istiqamah + Berpandukan Ilmu) dalam Beramal

Assalamualaikum warahmatullah.

"Istiqamah? Apa tu?"
Mungkin sesetengah orang Islam akan menjawab sebegitu apabila ditanya tentang istiqamah. Tidakkah perkara ini menjadi kebimbangan dan kesedihan buat kita? Sedangkan orang Islam sendiri tidak tahu-menahu langsung pasal istiqamah, macam mana kita hendak menarik minat orang yang bukan Islam kepada ajaran Allah S.W.T? Oleh itu, saudara-saudaraku, ILMU itu penting buat kita. Akan tetapi, ada kaitankah antara ilmu+istiqamah dengan amalan kita?


Orang yang beramal tidak berpandukan ilmu pengetahuan, maka amalannya akan tertolak. Sebabnya ilmu adalah petunjuk jalan kita. Oleh itu, kita perlu berilmu untuk menuju matlamat. Sekiranya kita tidak ada ilmu, walaupun kita ada usaha uuntuk ke depan, kita tidak akan nampak JALAN, seumpama orang meredah hutan sahaja. Akhirnya matlamat tidak tercapai. Kita akan sesat jalan walaupun niatnya baik. Sebaliknya pula, bagi orang berilmu tetapi tidak beramal, dia masuk LEBIH DAHULU ke neraka daripada penyembah-penyembah berhala yang kekal di sana tetapi orang tidak berilmu tidak kekal di dalam neraka.

Oleh yang demikian, jika kita hendak beramal, maka terpaksalah kita mencari ilmu pengetahuan. Kemudian setelah kita ada ilmu pengetahuan, hendaklah kita berazam pula untuk mengamalkan ilmu itu. Kita hendaklah berusaha mengamalkan ilmu itu secara bersungguh-sungguh walaupun kita terpaksa menghadapi kesusahan dan amalan kita itu hendaklah dibuat secara istiqamah atau secara tetap dan terus menerus.

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud : "Sebaik-baik amal itu ialah amal yang sentiasa dibuat walaupun sedikit."

Amal yang tetap serta berterusan (ISTIQAMAH) itu adalah lebih baik walaupun sedikit. Hal ini lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi dibuat sekali-sekala, kadang-kadang buat dan kadang-kadang tidak. Hal ini tidak boleh memberi kesan apa-apa. Ibarat air yang menitis setitik demi setitik di atas batu dengan berterusan hingga bertahun-tahun. Lama-kelamaan batu itu akan lekuk. Sebaliknya kalau datang hujan yang lebat hingga berlaku banjir yang melanda pokok-pokok dan rumah-rumah tetapi hanya berlaku sekali sahaja, tidak akan memberi kesan kepada batu itu kerana kemungkinan selepas itu berlaku kemarau yang bertahun-tahun lamanya. Batu itu tidak mungkin akan lekuk.

Dalam beramal tidak boleh semata-mata kerana dorongan semangat. umpamanya kita mendengar orang menceritakan fadhilat membaca al-Quran. Kita sekaligus membaca ayat yang banyak dan sekerap yang mungkin walhal sebelum ini kita tidak selalu pun membaca al-Quran. Hal ini bukan istiqamah namanya. Sepatutnya kita mulalah dengan beransur-ansur. Umpamanya dua baris satu hari kemudian tambah lima baris dan seterusnya. Kalau kita membuatnya hari-hari dan kita juga tahu ilmu untuk membuatnya, barulah usaha kita untuk menambahkan amalan itu tidak terasa terlalu berat. Apabila kita ada unsur-unsur amal itu, maka lama-kelamaan hal tersebut menjadi istiqamah.

KONKLUSI :
- Amalan tanpa ilmu merupakan perkara yang sia-sia dan ditolak amalannya.
- Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah. Ilmu tersebut tidak memberi manfaat dan menyusahkan pemiliknya kerana tidak mengamalkannya.
- Amal yang tetap dan berterusan walaupun sedikit adalahlebih baik daripada amal yang banyak tetapi tidak konsisten.

Oleh itu, kita renungkanlah diri kita. Adakah kita mempunyai ilmu yang cukup? Adakah kita mengamalkan ilmu yang kita ada? Adakah kita beristiqamah dalam beramal? Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita. Amiin.

0 Buah Fikiran: